Tuesday, January 1, 2008

Kalau Lidah Kelu Untuk Berbicara



Ramai lelaki yang kadangkala menjadi kelu untuk berkata-kata bila berhadapan dengan wanita yang diminatinya. Usah hendak bertanyakan khabar, mengeluarkan perkataan ‘Hai’ sekalipun terasa berat. Hairan ya perkara ini boleh berlaku pada lelaki sedangkan sikap asalnya cukup peramah dan suka berbicara. Inilah dikatakan panahan cinta. Ia akan menyebabkan seseorang lelaki menjadi berdebar dan gelisah hingga tidak mampu mengucapkan kata-kata.


Namun seharusnya masalah kekeluan ini tidak berlarutan terutama pada temujanji bersama si dia yang anda minati. Sikap anda yang senyap sunyi mungkin akan disalah erti oleh pasangan. Pada fikiran mereka anda mungkin tidak berminat dengan dirinya ataupun ada sesuatu yang tidak kena dengannya.


Jadi sebelum anda kehilangan wanita yang diminati pelajarilah teknik-eknik untuk memecah kesunyian sewaktu pertemuan atau temujanji pertama bersama si dia. Sebenarnya tidak sukar memulakan perbualan. Tak perlu memikirkan kalimat yang serius atau berat untuk diungkap sebagai bahan bicara. Cukuplah dengan memulakan dengan bahan bualan ringan yang tak perlu memerah otak untuk menjawabnya. Antaranya adalah seperti berikut:


1. Puji namanya.
” Saya suka nama awak, sangat sesuai dengan awak”. Kata-kata tersebut mungkin boleh menjadi kalimat pembuka yang paling berkesan untuk mendekatkan diri anda dengannya. Setelah itu, tanyakan pula dari mana asalnya untuk mengenali dirinya dengan lebih jauh.

2. Berkongsi cerita percutian
“Awak suka bercuti?” atau “Kali terakhir negeri mana yang awak kunjungi?”. Jika si dia memang suka melancong, dia pasti akan berkongsi cerita dengan anda. Bahkan sehingga sehari suntuk.

3. Apa minatnya
Setelah bertanya dua soalan di atas, anda boleh terus bertanya akan minatnya yang lain-lain. Dia sudah tentu akan senang hati menjawabnya bahkan tanpa diminta si dia mungkin akan bercerita dan bersoal balas dengan anda sendiri. Hah! Sekarang suasana mungkin lebih mesra bukan?

4. Cerita tentang makan
“Di mana awak selalu makan?” Atau “Di mana restoran kesukaan awak?” Selalunya hal makan si dia akan senang hati menceritakan pada anda. Mana tahu setelah berkongsi informasi ini, dia akan mengajak anda ke tempat kesukaannya pada temujanji akan datang. Ini sudah tentu peluang keemasan untuk anda mengenalinya dengan lebih dalam.

5. Bahan bacaan
“Awak selalu baca buku apa ya?” Kalau si dia suka membaca, ini akan menjadi topik pembuka bicara yang paling menyenangkan. Siapa tahu selepas itu anda boleh bertukar buku sehingga hubungan terus berlanjutan.

6. Paling rapat
“Siapa yang paling rapat dengan awak dalam keluarga” Dijamin si dia akan terus bercerita itu dan ini. Sama ada mengenai kakaknya yang cerewet atau ibunya yang paling hebat ataupun adiknya yang terlalu manja.

7. Telefon canggih
Telefon bimbit yang canggih juga boleh menjadi topik perbualan antara anda dan si dia. Tanyalah kalau si dia memang suka dengan kecanggihan teknologi komunikasi. Kalau jawapannya ya, model telefon bimbit saja sudah jadi topik menyeronokkan untuk dibualkan bersama.

8. Tidur lewat
“Adakah awak seperti saya, suka berjaga malam?” Dia tak akan curiga dan menjawabnya dengan jujur. Kalau anda tahu si dia suka berjaga malam, ini mungkin peluang anda untuk menghubunginya di sebelah malam pula.

9. Filem yang ditonton
“Awak dah tengok filem Transformers?” Kalau filem terkini sudah ditonton kemungkinan besar si dia memang suka ke panggung wayang. Sekiranya anda turut punyai hobi yang sama, kenapa tidak mengajaknya menonton sekali pada temujanji berikutnya.

No comments: