Tuesday, January 1, 2008

Belajar Ubati Kekecewaan



RASA kecewa atau kesal ada pada setiap orang. Bagi remaja, perasaan ini memang sudah sinonim. Masalah keluarga, putus cinta dan gagal dalam peperiksaan adalah antara punca utama. Kebiasaannya apabila sudah terkena ‘penyakit’ kecewa, ramai yang sukar mengikisnya.

Berasa kecewa atau kesal adalah normal, malah anda boleh dikatakan ‘tidak normal’ jika tidak pernah berasa kecewa sepanjang hidup! Bagaimanapun, jangan biar ia menguasai diri hingga mendorong anda bertindak luar dugaan dan mengalami tekanan yang boleh merosakkan diri dan kerjaya.

Sebagai remaja, anda perlu mengharunginya dengan matang. Cuba belajar untuk mengubati kekecewaan. Tidak semestinya rasa kecewa itu akan berterusan kerana jika kita yakin dan terus bersemangat pasti ada harapan pada masa depan.

Berikut beberapa panduan untuk membuang rasa kecewa:

- Terima kenyataan
Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan. Sebagai manusia, kita tidak boleh menentukan kehidupan kerana segalanya bergantung kepada takdir dan ketentuan Ilahi. Apa yang boleh kita lakukan ialah berusaha mengubah nasib kita.
Ada ketikanya kita bernasib baik, tetapi ada masanya kita juga diuji pelbagai dugaan. Rasa kecewa itu antara ujian dan dugaan yang diberi kepada kita. Hadapinya dengan tenang dan reda kerana selain memiliki hikmah tertentu, ia pasti mengajar kita supaya lebih berhati-hati dan menjadikan kita insaf.

- Berfikir
Senaraikan pro dan kontra apabila anda membuat sesuatu keputusan supaya anda tidak berasa terlalu kecewa apabila berlaku perkara yang tidak dijangkakan.
Biarkan ia berlalu dan lama-kelamaan anda akan dapat mengatasinya sendiri.

-Berfikiran positif
Cuba kenang kembali peristiwa kerana kebahagian yang anda miliki hari ini mungkin disebabkan pengalaman silam anda. Memang sukar untuk berfikiran positif apabila berdepan dengan sesuatu tragedi.
Jangan terlalu mengikut perasaan, sebaliknya tumpukan kepada perkara positif yang pernah anda lakukan dalam hidup. Ia pasti banyak membantu apabila anda berdepan rasa kecewa.

- Luahkannya
Bahaya jika memendamkan rasa kecewa kerana ia boleh memakan diri. Kesannya anda boleh mendapat kemurungan dan tekanan (stress).
Apa yang penting, anda perlu berkongsi rasa itu dengan menceritakannya kepada orang yang lebih rapat dengan anda. Bagi remaja, ibu bapa adalah individu paling sesuai. Jika anda mengadu, sedikit-sebanyak perasaan kecewa itu akan reda dengan pujukan, nasihat dan semangat yang anda peroleh daripada mereka.

- Beri tumpuan pada hidup
Teruslah berusaha untuk mencapai matlamat diinginkan. Apabila anda mempunyai fokus, segala cabaran dan rintangan boleh dihadapi dengan mudah. Apa yang penting, jangan biarkan perkara remeh menghantui anda sehingga membuatkan anda kecewa.

No comments: